CANBERRA: Chris, kambing biri-biri Australia yang pernah mendapat perhatian dunia 2015 sebagai kambing biri-biri yang memiliki bulu terberat di dunia menghembus nafas akhir baru-baru ini.

Haiwan dipercayai berusia sekitar 10 tahun ini ditemui mati oleh penjaganya.

Chris asalnya merupakan haiwan liar telah ditemui di pinggir jalan di utara Canberra.

Ketika ditemui ia berjalan merangkak ekoran bulunya yang tumbuh terlalu tebal.

Ia kemudianya dipelihara oleh Little Oak Sanctuary, badan kebajikan yang memelihara dan melindungi haiwan ternakan.

Pada 2015, setelah dicukur dan ditimbang, bulu Chris seberat 40.2 kilogram berharga sekitar AS$413 (RM1,727).

Jumlah itu sekali gus membuat Chris sebagai kambing biri-biri memiliki bulu paling berat di dunia mengalahkan Big Ben, kambing biri-biri New Zealand yang memiliki bulu seberat 29 kilogram yang tercatat pada 2014.