KUCHING: Penganjuran Agrofest 2019 pada edisi kali ini mengetengahkan dan memberi fokus kepada pendedahan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian di negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat, Datuk Roland Sagah berkata, festival yang berlangsung selama 10 hari dari 21 November hingga 1 Disember di Dataran Perayaan Stadium Negeri di sini akan menjadi salah satu platform kepada petani-petani Sarawak dalam usaha memberi perkhidmatan dan juga membolehkan petani meneroka dengan lebih luas bidang pelaburan luar negara.

Menurutnya lagi, Sarawak Agrofest merupakan satu inisiatif penting di bawah Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) sebagai langkah menjadikan Sarawak sebuah hab pertanian serantau.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berkenaan penganjuran Sarawak Agrofest 2019 di sini petang Isnin.

Tambahnya lagi, Agrofest kali ini memberi peluang yang baik kepada para petani untuk mempamerkan teknologi terkini dalam memproses makanan berasaskan tani, memperluaskan pelaburan dan kolaborasi, mendedahkan tren market terkini dan akses untuk meningkatkan daya saing pasaran.

Pelbagai aktiviti menarik yang akan dianjurkan antaranya ialah larian agro (5km), cabutan bertuah dan pertandingan ratu cantik.