PADA 16 September lalu, ketika Malaysia meraikan ulang tahun ke-56 penubuhannya, Kerajaan Persekutuan mengumumkan akan meneruskan pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak walaupun mendapat bantahan kerajaan negeri.

Ketika itu, singkatannya ialah MPKK, dan menyedari bahawa ia boleh menimbulkan kekeliruan dari segi politik, dan tidak menguntungkan PH, maka ditambah satu lagi perkataan persekutuan di dalamnya, menjadikannya MPKKP.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Sivarasa Rasiah, MPKK dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi gagal dimulakan di Sarawak.

Justeru, kerajaan PH dikatakan akan meneruskan langkah merombak kepimpinan pengurusan komuniti di peringkat kampung.

“Kita akan membincangkan perincian dan mekanik pelantikan itu (di peringkat kementerian), tetapi pada dasarnya, itulah keadaannya,” katanya September lalu.

Kerajaan PH mewujudkan MPKK bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara, tetapi Sarawak masih menggunakan sistem JKKK, yang menyaksikan isu berkaitan pelantikan dan pengurusan terletak di bawah kerajaan negeri.

Walaupun pada tahun lepas kerajaan PH bersetuju bahawa kerajaan negeri terbabit akan melantik pemimpin komuniti mereka sendiri, namun ia tidak berjalan lancar di Sarawak.

Pemimpin komuniti dilarang menghadiri acara anjuran pemimpin PH kerana agensi persekutuan tidak lagi membantu Kerajaan Sarawak. Akibatnya, gaji pemimpin komuniti di negeri itu kini dibayar sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak sejak Mei tahun lepas.

Oktober lepas, Menteri Kerja Raya, Baru Bian dilaporkan berkata, Putrajaya tidak lagi akan membayar 70 peratus daripada gaji pemimpin komuniti lantikan politik di Sarawak.

Menurut beliau, hanya pemimpin komuniti yang dipilih secara demokratik oleh penghuni rumah panjang akan mendapat dana daripada Putrajaya.

Mengapakah Kerajaan Persekutuan begitu bersungguh-sungguh untuk menubuhkan MPKKP?

MPKK membabitkan hampir 6,000 rumah panjang serta kampung di Sarawak pada tahun depan sebenarnya ialah wadah politik PH untuk menguasai akar umbi.

Ia merupakan mata dan telinga PH untuk memantau isu, masalah dan rungutan rakyat di peringkat bawah. Isu berkenaan dijangka akan dieksploitasikan dan dibesar-besarkan, malah diherotkan oleh PH, dengan agenda dan muslihat politik.

Dengan itu, akan mudah baginya untuk menyerang GPS dalam pilihan raya akan datang.

Yang jelas MPKKP mempunyai motif dan muslihat politik.

Walau apa-apa pun alasan yang diberi oleh PH, yang jelas, MPKKP pasti akan mengundang kesan negatif, termasuk mencetuskan konflik tajam dalam kalangan masyarakat pelgagaio kaum di Sarawak, terutama di luar bandar dan pedalaman.

Ketika berucap di Miri semalam, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan bersedia memberi peruntukan kewangan sewajarnya bagi memantapkan organisasi itu.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju dengan penubuhan MPKK sebagai persiapan peringkat akar umbi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang diadakan dalam tempoh setahun setengah lagi.

Menurutnya, penubuhan MPKK adalah untuk memudahkan saluran peruntukan kewangan dari kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan pelbagai projek di luar bandar selain daripada membentuk barisan pemimpin akar umbi sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Sarawak selepas PRN12 diadakan.

Nah, sudah terang lagi bersuluh, bahawa inilah sebenarnya motif utama PH menubuhkan MPKKP.

Hubaya-hubaya rakyat Sarawak.

MPKKP merupakan salah satu strategi untuk Pakatan Harapan (PH) mendidik rakyat dalam tadbir urus komuniti mereka, sebagai persiapan untuk mengambil Sarawak pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“MPPKP akan membantu kita mempersiapkan pengurusan di peringkat kampung bagi memudahkan pentadbiran, terutama apabila PH mahu memenangi PRN akan datang,” Guan Eng dipetik berkata.

“Apabila kita memenangi PRN dan membentuk Kerajaan Negeri yang baru kelak, maka mudah bagi kita mengambil alih pengurusan, dari peringkat akar umbi ini,” katanya.

Menteri Kewangan, mengumumkan kerajaan PH akan berusaha untuk mencari dana bagi MPKKP untuk meneruskan pembangunannya dan menunaikan janji-janji PH untuk Sarawak.

Yang pasti,  JKKK akan bertembung dengan MPKKP yang ditubuhkan oleh PH.

Ke mana agaknya rakyat Sarawak akan dibawa selepas ini?

Itulah sebabnya di Kuching semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengingatkan rakyat Sarawak agar melindungi Sarawak daripada anasir luar yang cuba memecahbelahkan negeri ini.

Beliau mahu rakyat Sarawak menjaga dan melindungi Sarawak daripada ancaman PH.