Tuesday, June 28, 2022

Sarawak larang import daging babi dalam tin dari China

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah  mengenakan larangan pengimportan babi dan semua produk babi dari negara-negara dijangkiti virus deman babi Afrika (ASF) sehingga dimaklumkan kelak.

Ini  termasuk produk babi dalam tin dari China.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS)  dalam satu kenyataan berkata, larangan tersebut susulan terdapat virus ASF dikesan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada salah satu daripada 17 sampel ‘luncheon’ babi dalam tin diimport dari China.

Demam babi Afrika ialah penyakit berjangkit yang menyebabkan babi dijangkiti dan membawa kepada kematian dan tiada rawatan atau vaksin untuknya pada masa ini.

“Virus berkenaan yang dikesan  disahkan oleh Kesihatan Awam Veternari di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, semasa ujian makmal menggunakan Real Time Polymerase Chain Reaction (q-PCR) pada Jumaat lalu,” kata JPVS dalam kenyataan.

Bagaimanapun, jabatan itu memberi jaminan bahawa setakat ini, tidak ada jangkitan virus ASF dilaporkan ke atas babi di negeri ini dan pengesanan virus itu tidak mengubah status Sarawak sebagai negeri bebas ASF.

“Setakat ini, jabatan menahan 220 kilogram produk haiwan melalui semua pintu masuk,” menurut kenyataan tersebut lagi.

Kata kenyataan itu, produk dalam proses penghantaran perlu menjalani mekanisme tahan ujian pelepasan untuk memastikan ia bebas daripada pencemaran.

Menurut JPVS, kompaun telah dikeluarkan terhadap pelanggaran syarat import-eksport dengan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 di pelabuhan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru