Tuesday, June 28, 2022

Peserta regata jadi duta pelancongan kepada Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak berharap kesemua 1,400 peserta Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2019 yang berakhir semalam akan menjadi duta pelancongannya dan berkongsi keunikan dan keindahan negeri itu, kepada dunia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata, kebanyakan peserta yang datang dari seluruh pelusuk dunia dapat mengalami sendiri keindahan dan keunikan Sarawak sewaktu mereka di negeri itu.

“Kamu semua adalah duta kami. Teruskan berkongsi keindahan semula jadi Sarawak, rakyat dan tempat menarik, bersama rakan dan keluarga,” katanya pada malam penghargaan dan majlis penyampaian hadiah Regata itu di sini semalam seperti dipetik Bernama.

Selain peserta tempatan, turut menyertai Regata itu termasuklah dari Amerika Syarikat, Australia, Emiriah Arab Bersatu, China, Taiwan, Hong Kong, Myanmar, Filipina, Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Snowdan berkata, kesemua peserta telah dibahagikan kepada 42 kumpulan dan dimaklumkan melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Kampung Budaya Sarawak untuk melihat sembilan rumah kumpulan etnik utama di Sarawak.

“Sarawak mempunyai kebudayaan yang unik, pengembaraan yang mendebarkan, alam semula jadi yang menarik, makanan yang mempersonakan dan festival yang mengagumkan. Jadi sementara anda di Kuching, terokailah kebudayaan, makanan dan kesenian Sarawak,” katanya.

Menurut Bernama kejohanan dua hari itu di Kuching Water Front, menyaksikan pasukan Perahu Naga Polillo dari Filipina menjuarai kategori Terbuka Premier Antarabangsa (20 pendayung) dan Campuran Premier Antarabangsa (12 pendayung).

Pasukan Kayak Unimas Sarawak memenani kategori 12 pendayung, Pasukan GPS Singapura (Wanita Premier Antarabangsa 12 pendayung) dan pasukan Perahu Naga CU dari Thailand (Terbuka Master Antarabangsa 12 pendayung (40 tahun ke atas). 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru