KETEGASAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia akan membuka Kedutaan Khas untuk Palestin di Jordan dilihat bakal menjadi satu titik tolak kepada sokongan negara-negara Islam lainnya. Kami juga percaya dukungan kepada perjuangan pembebasan Palestin dan keadilan untuk rakyat akan berlaku secara besar-besaran.

Ianya sekali gus memberi isyarat kecaman terhadap langkah giat Zionis Israel yang meningkatkan tindakan pencerobohan dan kezaliman mutakhir ini. Perobohan rumah rakyat Palestin termasuk yang sedang dalam pembinaan adalah sikap bacul lagi tidak berperikemanusiaan. Perkembangan buruk khususnya di sempadan Gaza-Israel ini mesti dihentikan.

Tekanan dari Israel bahkan semakin menjadi-jadi yang dapat disaksikan dari angka kematian dan seksaan terhadap rakyat Palestin turut meningkat sejak tercetusnya protes besar di sempadan Gaza-Israel bermula 30 Mac tahun lalu. Semua pihak pasti mengakui, pengganas dunia Israel pasti akan berterusan demikian sebagai tindak balas mereka.

Apatah lagi suara pembelaan ke atas Palestin semakin kuat berkumandang. Tun Mahathir sendiri antara yang garang menempelak kuasa besar kerana sikap bias mereka kepada Palestin semasa berucap di Persidangan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) berlangsung bermula semalam. Pengisytiharan beliau sangat-sangat memotivasikan.

Bahkan terdahulu, Pembangkang turut memainkan peranan sama antaranya Ahli Parlimen Sik, YB Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman telah menyuarakan mengenai hal Kedutaan ini pada Mac lalu. Sehubungan itu, dukungan sama mesti dizahirkan semua pihak termasuk melobi kesatuan seluruh Negara-negara Islam dan negara dunia yang lainnya.

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN