Sambut baik buka kedutaan Malaysia ke Palestin di Jordan

0
10
Foto : Hafiz

BDS Malaysia menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan sebuah kedutaan Malaysia ke Palestin di Jordan. Ini selari dengan pendirian Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka dari belenggu penjajahan puak Zionis yang telah datang dari Eropah untuk merampas tanah mereka.

Keputusan kerajaan Malaysia ini juga selari dengan pendiriannya yang tegas tidak akan menerima kewujudan negara Israel sebagai sebuah negara yang sah dan tidak akan mengiktiraf kuasa mereka di atas mana-mana tanah Palestin yang diduduki.

Hakikat yang sebenar ialah Israel adalah sebuah negara haram yang diwujudkan dengan cara pembersihan ethnik yang ganas (violent ethnic cleansing) dimana bukan sahaja tanah rakyat Palestin dirampas, bahkan ribuan telah dibunuh dengan kejam serta seramai 750,000 dihalau dari negara mereka dan menjadi pelarian sehingga kini.

Di bawah resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diluluskan pada tahun 1948, pelarian Palestin telah diberi hak untuk pulang ke tanah air mereka. Namun hak ini telah disekat oleh Israel dengan sokongan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan beberapa lagi negara kuncu Zionis.

Namun dengan berbekalkan semangat kental yang tidak pernah luntur dan bantuan beberapa negara seperti Malaysia, kami yakin rakyat Palestin akan berjaya mencapai kemerdekaan bagi negara mereka satu hari nanti dan kedutaan Malaysia akan dapat dipindahkan ke Baitul Maqdis, ibu kota Palestin.

Kenyataan Media oleh BDS Malaysia