PAS-Umno yakin tawan Putrajaya ikut ‘pintu depan’

KUALA TERENGGANU: PAS menaruh keyakinan akan masuk ke pentadbiran Putrajaya bersama Umno ikut ‘pintu depan’.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan, ahli-ahli PAS-Umno agar menjaga perpaduan dengan tidak lagi berbalah.

Menurutnya, menyatuan kedua-dua parti Melayu Islam terbesar itu akan mampu kembali ke Putrajaya.

“Insya-Allah, kita masuk ke Putrajaya ikut pintu depan, melalui pilihan raya. Kita tak masuk ikut pintu belakang, kita bangkit atas kesedaran.

“Insya-Allah, muafakat kita akan berlangsung dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dan ramai lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, kekalahan Umno dan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, perlu dimuhasabahkan.

Justeru, menurutnya, sebagai orang Islam tidak perlu merasa terhina selagi bersama dengan pegangan Islam.