Menambahkan royalti petroleum 20 peratus ialah manifesto Pakatan Harapan terhadap Sabah dan Sarawak. Namun hingga sekarang pelbagai alasan diberikan untuk tidak menunaikan  janji tersebut. Antaranya ialah menurut Tun Mahathir perlu ada kajian menyeluruh sebelum keputusan membayar 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan.

Ini agak pelik kerana sebelum PRU pelbagai janji manis politik ditaburkan kepada pengundi untuk mendapat undi dan agar menang pilihan raya. Apabila sudah menang, dalih politik pun dikemukakan. Menurut Mahathir lagi kerajaan perlu berhati-hati dalam hal itu kerana jika dilaksanakan, ada kemungkinan operasi Petronas akan lumpuh.

Sekiranya hanya menggunakan Petronas semata-mata untuk mengutip royalti,  negara akan kehilangan banyak perkara, kekuatan Petronas perlu dikekalkan dan sekiranya sekiranya perkara ini dilaksanakan, kerajaan terpaksa mengambil 40 peratus untuk royalti  daripada kos operasi Petronas maka ia sudah pasti akan ‘membunuh’ Petronas menurut Mahathir.

Janji Politik

Inilah kepelikan yang berlaku, iaitu hanya sanggup membuat apa-apa sahaja untuk menang dan membuat manifesto politik akan mendapat undi daripada rakyat  yang tidak tahu, ia hanyalah propaganda politik. 

Malah Dr Mahathir  juga kini menegaskan  bahawa kerajaan Pakatan Harapan juga  perlu melihat kembali royalti lima peratus kepada Sabah dan Sarawak, kerana ia juga dirasakan sangat besar.  Apakah makna ini dari segi kepercayaan politik? Bukan sahaja royalti 20 peratus yang dijanjikan, cuba dimungkiri, akan tetapi royalti 5 peratus pula dianggap membebankan. 

Azmin Ali Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 25 Julai 2018 di Dewan Rakyat menyatakan kerajaan tidak mampu membayar jumlah royalti minyak sebanyak 20 peratus berdasarkan penghasilan dan dan mendakwa Petronas akan berhenti beroperasi jika bayaran seperti itu dilaksanakan. Bayaran royalti 20 peratus berdasarkan keuntungan itu hanya boleh dibuat selepas Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda. Akta tersebut  menyatakan negeri pengeluar minyak akan menerima royalti sebanyak 5 peratus, perjanjian antara Petronas dan Kelantan 1976 pula menyebut bayaran tunai sebanyak 5 peratus juga.

Dikecewakan

Namun  negeri Sabah dan Sarawak tidak akan menuntut royalti petroleum sekiranya tidak ada hak yang munasabah.  Hakikatnya Sabah dan Sarawak menghasilkan sebanyak 60 peratus daripada jumlah pengeluaran petroleum negara, bernilai kira-kira RM38 bilion pada 2017.

Malah pada September 2018, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan akan memutuskan dalam tempoh enam bulan tentang bagaimana ia dapat mengeluarkan 20 peratus daripada royalti minyak kepada semua negeri pengeluar minyak. Namun, kini lebih setahun kenyataan tersebut tidak ada apa-apa perubahan atau keputusan yang dibuat. Agaknya,  tidak membayar 20 peratus daripada royalti minyak adalah merupakan keputusan tersirat daripada kenyataan tersebut. 

Sarawak ialah salah satu negeri yang paling lantang bersuara daripada empat negeri pengeluar minyak  yang mendesak untuk mendapatkan 20 peratus pembayaran berdasarkan hasil kasar minyak yang dikeluarkan di negeri tersebut. Namun kelantangan ini belum mendapat hasil juga.

Kaji Akta Petroleum 1974

Manifesto PH juga berjanji mengkaji semula Akta Pembangunan Petroleum 1974  bagi tujuan menyemak semula monopoli Petronas terhadap hasil gas dan minyak negara. Pada akhirnya PH akan mengusahakan penubuhan syarikat minyak dan gas Sabah dan Sarawak sendiri. Langkah ini bertujuan  agar kedua-dua negeri ini tidak menghadkan peranan mereka hanya sebagai kontraktor kepada Petronas sahaja.

Namun begitu penubuhan Petros ialah hasil inisiatif dari kerajaan negeri Sarawak sendiri. Sehingga kini  Akta Pembangunan Petroleum 1974 belum lagi dikaji oleh kerajaan Pakatan Harapan. Sudah tentu ia memberikan makna besar dan mesej kepada rakyat betapa  janji pilihan raya yang terdapat dalam manifesto hanya tinggal sebagai manifesto pilihan raya yang belum lagi ditunaikan oleh kerajaan.

Tawaran Baru Politik 

Baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi  pula menabur janji untuk memberikan royalti minyak sepenuhnya sekiranya Muafakat Nasional berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Tawaran baru itu akan dilaksanakan sekiranya rakyat memberi kepercayaan semula untuk parti itu kembali menerajui negara. UMNO dan PAS bekerjasama atas nama Muafakat Nasional. Kata Zahid dipetik media sebagai berkata, “Bukan setakat royalti minyak sebagai mana dituntut kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan, kita akan berikan sepenuhnya royalti minyak kepada negeri Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan serta Pahang dan negeri-negeri yang lain.” Namun Zahid dalam ucapannya tersebut tidak menyebut jumlah peratusan royalti yang akan dibayar kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Peruntukan  bukan lagi projek

Janji Presiden Umno  tersebut juga ialah sekiranya Muafakat Nasional membentuk kerajaan maka negeri akan disalurkan peruntukan kewangan secara terus dan tidak lagi diberikan dalam bentuk projek. Bermakna  kerajaan negeri akan menentukan apa-apa projek paling sesuai untuk negeri-negeri tersebut.

Tawaran tersebut sangat menarik, sudah tentu ia sebagai salah satu janji politik sama seperti janji dan manifesto yang dilakukan Pakatan Harapan mengenai royalti minyak ketika memerlukan sokongan Sabah dan Sarawak untuk bertapak di Putrajaya . Apa pun, Sabah dan Sarawak sudah tentu  kini lebih arif dan mempunyai pengalaman lebih 55 tahun bersama pemerintahan BN. Janji  pemberian royalti penuh ini dan  peruntukan  pelaksanaan sendiri ini merupakan to good to be true.

Hakikat Politik

Kalau PH gagal tunaikan janji, apatah lagi BN yang selama ini tak tunaikan isu perjanjian Malaysia 1963.  Puluhan tahun terdahulu BN telah buat perjanjian 1974 yang tidak adil yang menjadikan  kedudukan Sabah dan Sarawak setaraf dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Begitu juga perjanjian di antara PETRONAS dan kerajaan Negeri pada 1974 mengikut Seksyen 4 Akta Petroleum 1974 yang merugikan Sabah dan Sarawak. 

Ketika itu Sarawak mempunyai masalah ancaman komunis terpaksa tunduk kepada BN agar memastikan keselamatan negeri Sarawak terus dilindungi. Sehingga tumbangnya BN, perjanjian yang merugikan kedua-dua negeri ini gagal dibubarkan.

Hal ini menunjukkan Sabah dan Sarawak perlu lebih berhati-hati dengan sesiapa juga pemerintahan di Putrajaya sama ada Pakatan Harapan atau Barisan Nasional. Sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi tanpa mengira Pakatan Harapan atau Barisan Nasional sebagai pemerintah.  Maka, tidak perlu termakan lagi janji atau manifesto BN atau PH!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.