SIBU: Seorang lelaki lemas manakala anak lelakinya terselamat apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terhumban ke dalam parit di Jalan Ling Kai Cheng, Sibu, di sini malam tadi.

Dalam insiden 10.40 malam itu, mangsa Asri Rizal Rahim, 41, bersama seorang anak lelaki berumur sembilan tahun menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic, terperangkap dalam kenderaannya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Shairulnizam Wailie, berkata, anak mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum pihak bomba tiba dan dikejarkan ke Hospital Sibu oleh jentera EMRS Sungai Merah untuk rawatan susulan.

“Bomba bersama dua buah jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam10:44 malam.

“Setiba di lokasi, kami mendapati sebuah kereta terhumban ke dalam parit yang berair dalam keadaan terbalik. Mangsa tersepit di bahagian kaki dan kami menggunakan peralatan bagi menarik kenderaan ke tepi dan berjaya mengeluarkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, operasi tamat jam 11:58 malam.