Ketua Menteri hadiri Majlis Ikatan Kasih

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hadir ke Majlis Ikatan Kasih “Gedong Permulaan Kami” bertempat di Hotel Riverside Kuching malam tadi.

Sejurus ketibaan YAB Ketua Menteri diberi sedikit taklimat mengenai asal usul pertalian keluarga dan beberapa sejarah berkaitan hubungan kekeluargaan dan sebagainya.

Ketika berucap di majlis berkenaan, Ketua Menteri menyeru agar masyarakat Gedong khasnya untuk terus menjaga pertalian persaudaraan yang sedia terjalin termasuklah menjaga perpaduan, menjaga kawasan dan kampung masing-masing serta menjaga pertalian dan hubungan dengan masyarakat lain.

Beliau menambah lagi, Kerajaan pimpinannya akan terus berusaha meneruskan pembangunan luar bandar termasuklah menyediakan jaringan jalan raya, bekalan air dan elektrik yang baik di kawasan Gedong ini. Kerajaan juga telah mengumumkan untuk membina jalan pesisir di Gedong hinggalah ke Miri.

Datuk Patinggi Abang Johari juga berkata, Kerajaan juga akan menubuhkan Integrated Regional Development Agency (IRDA) di kawasan Simunjan dan Gedong ini dengan peruntukan sebanyak RM1.5 Billion bagi meningkatkan kemudahan termasuklah di Kampung Gedong ini.

Hadir sama di majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hassan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nassar, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Haji Mohamad Naroden bin Haji Majais, Menteri Muda Infrstruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Haji Julaihi bin Haji Narawi dan beberapa kenamaan lain.