Tuesday, June 28, 2022

Pelatih PDK Sri Satok berbakat canting batik

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 18 pelatih Pusat Dalam Komuniti (PDK) Sri Satok menyertai pertunjukan mencanting batik di Padang Merdeka semalam.

Ia diadakan bersempena Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) 2019 anjuran Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA) dengan kerjasama OKSHE.

Penyelia PDK Sri Satok, Kalthoum Adeni berkata, kraftangan merupakan salah satu kurikulum yang diajar di PDK selain seni persembahan dan sukan.

“Kita berasa bangga kerana pelatih dijemput untuk menunjukkan bakat mencanting batik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, pertunjukan di khalayak ramai merupakan salah satu platform untuk meningkatkan kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap anak-anak istimewa.

“Kita menerima banyak jemputan dan ini adalah cara untuk kita menyebar luas mengenai PDK serta kelebihan anak istimewa,” ujarnya.

Kalthoum berkata, setiap anak istimewa mempunyai bakat masing-masing dan ia perlu digilap.

“Pelatih kita mempunyai bakat masing-masing dan kita memilih kurikulum berdasarkan kecenderungan mereka,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru