KABONG: Acara Jogathon Sempena Pra Sambutan Seabad (100 Tahun) Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman menyaksikan lebih 600 peserta menyertainya pagi tadi.

Untuk jogathon kali ini sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka lelaki dan wanita, kategori veteran (lelaki dan wanita) dan Kategori pelajar sekolah (lelaki dan wanita).

Majlis perasmian acara disempurnakan oleh ADUN Kabong Mohd. Chee Kadir yang hadir ditemani isterinya, Meryani Haji Yasin.

Hadir sama Pegawai Daerah Kabong, Haji Mohamad Rashdan Haji Hazemi, Guru Besar SK. Abang Leman Kabong, Mokhtar Jaya, Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SK Abang Leman Kabong, Haji Olen Tabor, YDP PIBG SK. Abang Leman Kabong, Kr Johan Haji Rahman dan tetamu jemputan khas yang lain.

Para peserta memulakan larian dari pekarangan pekan di sini bermula jam 7. 30 pagi. Acara dimulakan oleh peserta kategori pelajar sekolah yang kemudiannya diikuti oleh peserta kategori veteran, dan peserta untuk kategori terbuka. Peserta jogathon perlu melalui jarak sejauh enam kilometer dengan garisan penamatnya adalah di Arena RMT SKAL.

Peserta yang menyertai jogathon pada kali ini datangnya dari Kuching, Sarikei, Sibu, Miri, Betong, Saratok dan Kabong.

Majlis penutupan acara berkenaan berlangsung di Arena RMT SK Abang Leman.

Pada majlis tersebut Chee mengumumkan sumbangan sebanyak RM10, 000 untuk PIBG SK.Abang Leman Kabong.

Chee kemudiannya menyampaian hadiah, piala, sijil penyertaan kepada semua pesera terlibat kira-kira jam 10. 30 pagi.