BINTULU: “Peranan pendidikan telah mengalami transformasi yang amat ketara daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar dan menimba ilmu semata-mata tetapi juga dididik agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia serta berketerampilan sebagai pewaris bangsa dan negara,” demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak N68 Tanjung Batu, Yang Berhormat Tuan Chiew Chiu Sing dalam ucapan beliau semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar SMK Bandar Bintulu tahun 2019 semalam.

“Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara. Justeru, semua pihak perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan. Seiring dengan keperluan di peringkat global, sistem pendidikan mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan,” tambah beliau.

Manakala, dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Valerie Soon Lai Meng yang mewakili Pengetua SMK Bandar Bintulu, Patrick Philip Moss, menyatakan bahawa majlis yang diadakan pada hari ini merupakan kesinambungan tradisi yang sudah memiliki signifikan tersendiri dalam takwim sekolah ini.

“Kecemerlangan pelajar bukan sahaja diukur dari segi pencapaian akademik semata-mata tetapi merangkumi pembabitan secara holistik dan menyeluruh iaitu bidang kokurikulum, sukan dan sahsiah yang baik turut menjadi penanda aras kemercuan diri pelajar,” katanya.

Dalam majlis tersebut adik Awangku Haziq Fadli Bin Awangku Masparbu telah menerima Anugerah Pengetua Bandarian.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu Fred Anak Entau, Naib YDP PIBG SMK Bandar Bintulu Madang Anak Dimbab, wakil Ketua Polis Daerah Bintulu ASP Wilson Dennis Anak Ugap, Barisan Kepimpinan PIBG, Penolong-penolong Kanan, Ketua-ketua Bidang, guru-guru, para ibu bapa dan para pelajar yang diraikan.