Monday, June 27, 2022

Martabatkan warisan lama Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Usaha memartabatkan warisan lama yang sebahagiannya hampir pupus wajar diperkasakan lagi, supaya tidak ditenggelami fenomena globalisasi budaya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan, Datuk Dr Sabariah Putit sehubungan itu berkata, amat penting bagi generasi muda terlibat sama dalam usaha ke arah itu.

Menurutnya, penglibatan anak muda dalam aktiviti memelihara dan memulihara seni warisan Melayu, mampu menyemai rasa tanggungjawab terhadap warisan yang dipertahankan oleh masyarakat terdahulu.

“Saya bangga melihat anak-anak muda sekarang yang sudah mula mengenal balik asal usul serta tradisi warisan yang telah mereka warisi,” katanya selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Busana Tradisional Melayu sempena Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) 2019 di sini.

Pertandingan itu dianjurkan Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu (KEWARISMA) dengan kerjasama OKSHE dan Anggun Collection. Seramai 10 peserta lelaki dan 10 wanita menyertai pertandingan berkenaan.

Dr Sabariah berkata, anak-anak muda yang terlibat dalam penganjuran dan menyertai pertandingan berkenaan misalannya, menyumbang ke arah memartabatkan seni budaya Melayu Sarawak dan memperkasakan kesenian masyarakat Melayu.

Justeru katanya, usaha sedemikian wajar diteruskan dan dipertingkatkan lagi, demi memastikan kesinambungan warisan budaya Melayu lama terus terpelihara.  

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru