Sunday, January 23, 2022

Mampukah PSB menggugat GPS?

Secara Rawak

Kurang dalam masa dua tahun lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan membuka tirai untuk memberi peluang kepada rakyat Sarawak memilih parti-parti politik yang akan membentuk kerajaan. Persediaan parti-parti politik di Sarawak kian meningkat saban hari. GPS makin rancak menyantuni rakyat Sarawak bagi memastikan mandat terus diberikan oleh rakyat Sarawak untuk terus mentadbir bumi kenyalang. Parti-parti lain seperti PH dan PSB turut juga bergerak ke semua pelosok negeri Sarawak.

Bagi Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang buat pertama kali menyertai PRN sebagai sebuah entiti baharu politik tempatan di Sarawak setelah tidak mesra lagi GPS turut bersiap siaga dalam menempuh PRN ke – 12 yang dikatakan sebagai ibu segala PRN di Sarawak. Khabar angin mengatakan bahawa PSB kini dalam proses mengenal pasti bakal-bakal calon yang akan diketengahkan pada PRN ke – 12 nanti. Persoalannya adalah, adakah PSB akan bertanding untuk keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRN ke – 12 nanti? Sejauhmanakah PSB dapat diterima oleh rakyat Sarawak? Persoalan ini perlu diperhalusi sebaik-baiknya oleh PSB.

Mengimbau kembali kenyataan Presiden PSB beberapa bulan lepas setelah Presiden iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh meletak jawatan daripada barisan kabinet kerajaan Sarawak mengatakan bahawa PSB bersedia untuk meletakkan calon di kesemua 82 kerusi DUN Sarawak pada PRN ke – 12 nanti. Keyakinan Presiden PSB ini harus diberi perhatian oleh mana-mana parti politik terutama GPS kerana PSB mempunyai kekuatan tersendiri termasuk sumber kewangan untuk menempuh PRN ke – 12 nanti.

Untuk rekod, PSB kini mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Parlimen Bukit Bengunan yang diwakili Datuk Masir Kujat bekas Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan empat kerusi DUN iaitu Bawang Assan, Dudong, Engkelili dan Opar. PSB sudah pasti akan dapat mempertahankan kesemua empat kerusi DUN yang dalam genggaman mereka sekiranya tiada calon yang boleh mencabar penyandang diketengahkan oleh mana-mana parti politik terutama daripada PH dan GPS.

Malahan, PSB sudah pasti akan memasuki gelanggan pertarungan bagi kesemua kerusi yang ditandingi oleh GPS terutama kerusi yang ditandingi oleh SUPP, PRS dan PDP. Cakap-cakap politik juga mengatakan bahawa PSB turut akan mengetengahkan calon untuk bertanding untuk semua kerusi DUN Dayak dan beberapa kerusi Melayu Melanau yang ditandingi oleh PBB. PSB kini dalam proses mengenal pasti kesemua calon yang berpotensi untuk diketengahkan pada PRN ke – 12 nanti.

PSB ingin memberi alternatif kepada rakyat Sarawak yang tidak menyokong PH dan GPS. Sebagai sebuah parti politik tempatan, PSB sudah pasti dapat menjadi alternatif kepada rakyat Sarawak yang ingin melihat perubahan dalam kepimpinan negeri Sarawak. Pendekatan atau strategi yang ampuh boleh merealisasikan percaturan politik PSB ini. Tidak mustahil PSB dapat membentuk kerajan baharu bersama dengan GPS atau PH selepas PRN ke – 12 nanti.

Untuk menjadi alternatif kepada rakyat Sarawak, PSB harus membuktikan parti ini lebih baik daripada PH dan GPS. PSB harus mengentengahkan naratif politik baharu yang menjanjikan nilai kepimpinan yang tidak memberi kerugian kepada rakyat untuk memilih PSB. Persoalannya, mampukah PSB mengemukakan nilai kepimpinan yang didambakan oleh rakyat? Persoalan ini perlu diteliti oleh PSB sekiranya ingin memberi pilihan atau alternatif kepada rakyat Sarawak semasa PRN ke – 12 nanti.

Apa pun, PSB sudah pasti akan memberikan saingan yang sengit dalam PRN ke – 12 yang dijangka akan diadakan akhir tahun hadapan atau awal tahun 2020. Pesta demokrasi yang meriah pasti menanti rakyat Sarawak pada PRN ke – 12 nanti. Tuntasnya, percaturan atau perkembangan politik PSB sudah pasti amat menarik untuk diperhatikan dalam menuju PRN ke – 12 nanti. Persoalannya, adakah PSB betul-betul boleh memainkan peranan sebagai alternatif kepada rakyat Sarawak semasa PRN ke -12 nanti? Sama-sama kita rungkai persoalan ini.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru