Monday, June 27, 2022

Kerajaan Sarawak serius bangunkan luar bandar

Secara Rawak

DARO: Kerajaan Sarawak memandang serius tentang pembangunan di kawasan luar bandar di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata pelbagai inisiatif dan projek dilaksanakan di beberapa kawasan luar bandar di Sarawak seperti Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS), Projek Rakyat, Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan sebagainya.

“Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS) ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak dalam usaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan rumah panjang di kawasan Serban ini.

“Malah, Kerajaan Sarawak bukan sekadar berjanji tetapi sentiasa berusaha untuk melakukan pembangunan untuk memastikan rakyat tidak ketinggalan dengan arus pembangunan,” katanya.

Safiee telah merasmikan Projek Bina Baru Jalan Gravel Rumah Panjang Serban yang bernilai RM140,000 sebagai usaha Kerajaan Sarawak membantu menyambungkan jalan dari rumah panjang ini keluar ke jalan utama.

Beliau turut meminta supaya rakyat berfikir kembali tentang apa yang telah dilaksanakan Kerajaan Sarawak khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro.

“Lihatlah apabila Kerajaan Sarawak mengambilalih pembinaan Jambatan Igan dan beberapa jambatan lain yang telah dibatalkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Jika ini tidak dilaksanakan, rakyat khususnya mereka yang tinggal di kawasan jalan pesisir akan mengalami kesukaran dalam pengangkutan,” ujarnya.

Turut disentuh, kewujudan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dilihat tidak relevan diwujudkan di Sarawak.

“Penubuhan MPKK yang perkenalkan Kerajaan Persekutuan di Sarawak adalah tidak efisien kerana bercanggah dengan fungsi dan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah Pejabat Daerah. Malah, pentadbiran MPKK diletakkan di bawah fungsi parti politik,” katanya.

Jika ini diteruskan, sudah pasti ia akan memecahkan perpaduan yang ada di Sarawak pada hari ini.

Terdahulu, Safiee turut merasmikan Projek Baik Pulih Gereja Serban yang bernilai RM60,000.

Beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM4,000 kepada setiap JKKK yang ada di kawasan Serban ini.

Turut disampaikan alatan muzik iaitu keyboard untuk kegunaan mereka dan turut memaklumkan akan menyumbang 100 biji kerusi untuk kegunaan gereja.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru