KUCHING:  Duta Besar Malaysia ke Peru yang baharu dilantik, Fenny Nuli akan berusaha menerokai lebih banyak peluang mempromosikan Malaysia dan, Sarawak di negara Amerika Latin, terutama  dalam bidang pelancongan.

Semalam jadual anak kelahiran berusia 48 tahun dari Sri Aman  itu sibuk kerana mengadakan kunjungan hormat terhadap TYT Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia.

Fenny berkata ini akan menjadi sebahagian daripada usahanya untuk menggalakkan lagi perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, yang kini berjumlah kira-kira RM300 juta.   

Beliau menjadi Timbalan Ketua Misi di Pejabat Kedutaan Malaysia di Brussel, Belgium sejak 2016, sebelum dilantik menyandang jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Peru.

Beliau menerima watikah pelantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 Oktober.

Fenny dijangka  berlepas ke Peru pertengahan bulan hadapan.

Wanita Iban itu berkata beliau akan melipatgandakjan usaha mengukuhkan hubungan dua hala dan perdagangan antara Malaysia dengan Peru.

“Ketua Menteri juga menyampaikan beberapa nasihat kepada saya, dan kami juga berharap delegasi dari Sarawak dapat berkunjung ke Peru,” katanya.

“Mungkin kita dapat belajar sesuatu daripada Peru dan membantu masyarakat kita. Saya masih lagi menerokai sektor lain dan bagaimanana kita dapat mengembangkannya untuk Malaysia dan Sarawak,” jelas Fenny  kepada media selepas pertemuan dengan Ketua Menteri.