KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg menggesa generasi muda untuk lebih berfikiran secara kritikal dalam menghadapi cabaran teknologi masa kini.

Beliau berkata, dasar pendidikan harus ditumpukan ke arah membangunkan pemikiran kritikal.

“Pelajar-pelajar kita mesti berupaya untuk mengkritik, bertanya soalan, dan jika terdapat kelemahan, pelajar-pelajar kita mesti berupaya mencari penyelesaian untuk memperkuatkan kelemahan-kelemahan sedia ada,”

“Ada ilmu tapi tidak diamalkan tidak memberi makna. Tapi jika ada ilmu dan digunakan sebagai sebahagian daripada pemikiran kritkal anda mampu menghasilkan elemen dan produk yang baharu,”

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Sarawak Invention, Innovation and Design Expo (SIIDEx) 2019 di Kuching semalam.

Tambahnya lagi, para pelajar juga perlu menguasai subjek matematik dan sains sebagai asas perkembangan teknologi mereka.

Tegas beliau, sukar untuk memahami bidang penyelidikan dan teknologi sekiranya pelajar tidak memahami subjek yang berkaitan.