MIRI: Bagi mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur di kawasan tanah tinggi Bahagian Miri, Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion kepada Lembaga Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata setakat ini, sejumlah RM345.9 juta diperuntukan untuk empat projek jalan raya dan satu jambatan.
“Kami juga membelanjakan RM20 juta untuk projek bekalan air untuk Long Silat dan Long Jekitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bertemu rakyat di Kampung Long Jeeh, Baram di sini semalam.
Jelas Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak dengan adanya jalan raya dan kemudahan lain di kawasan tanah tinggi, Kerajaan Sarawak merancang untuk membuka lebih banyak aktiviti pertanian yang mampu menjana lebih banyak pendapatan.
Katanya, untuk projek pertanian, satu daripada tumpuan utama ialah penanaman tanaman makanan.
Beliau berkata, pembabitan sektor swasta penting bagi memastikan kejayaan projek berkenaan.