MERADONG: Pelaksanaan projek transformasi luar bandar (RTP) terus dilaksanakan setiap tahun dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Ukas, Abdullah Saidol berkata, masyarakat akar umbi di DUN Semop yang diwakilinya juga tidak ketinggalan daripada mendapat manfaat pembangunan menerusi peruntukan RTP.

“Dalam RTP yang sedang berjalan dan tidak lama lagi kita akan menyenaraikan projek untuk 2020, semua ini sentiasa kita lakukan setiap tahun” katanya.

Sementara itu, Abdullah Saidol memberitahu, kerajaan Sarawak melalui pucuk pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga telah meluluskan Agropark di seberang Sungai Sian.

Jelasnya, projek Agropark itu merupakan salah satu peluang untuk penduduk daerah Meradong untuk membangunkan sektor pertanian.