Monday, June 27, 2022

Pelihara tandak, mukun dan gendang Melayu Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Bermukun, tandak dan gendang Melayu Lama ialah seni budaya unik di Sarawak dan ia tidak terdapat di mana-mana negeri di Malaysia.

Justeru ia harus dipelihara, diperjuangkan dan diperkembangkan lagi terutama dalam kalangan generasi muda di negeri ini.

Pengurus Kumpulan Gendang Melayu Sarawak dan Orkes Melati Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS), Haji Yusup Haji Buang berkata, usaha menjaga dan memelihara seni budaya unik ini perlu dibuat secara menyeluruh di bandar dan luar bandar.

Ini katanya, kerana minat belia di kawasan bandar terhadap seni Gendang Melayu Sarawak ketika ini masih berkurangan, berbanding belia luar bandar.

“Anak-anak di luar bandar kebanyakkannya telah didedahkan dengan Gendang Melayu Sarawak sejak kecil lagi kerana ia kerap diadakan di majlis-majlis perkahwinan dan keramaian.

“Di bandar ia jarang-jarang diadakan. Sehubungan itu kita kini berusaha untuk mengetengahkan tandak dan gendang Melayu Sarawak ini di bandar,” katanya ketika ditemui selepas persembahan Gendang Melayu Asli bersempena Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) 2019 di Padang Merdeka di sini.

Temasya Warisan OKSHE 2019 dianjurkan Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA) dengan kerjasama OKSHE.

Bagi memelihara warisan seni ini juga, Yusup mengambil inisiatif memulakan program bermukun di Sarawak FM Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan ianya mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar dan peminat.

Sementara itu, pengunjung yang hadir malam ini, memuji usaha penganjur dalam mempertahankan lagi seni berkenaan.

Latipah Tentet, 50, dari Kampung Semerah Padi, berkata beliau amat meminati seni gendang ini sejak muda.

“Saya harap program seperti ini diteruskan sampai bila-bila supaya seni budaya Melayu ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Sebanyak tiga kumpulan Gendang Melayu Asli Sarawak membuat persembahan malam ini iaitu kumpulan Sri Kenyalang 3 dari Kampung Semerah Padi, kumpulan Sri Buana dari Kampung Samariang Batu dan kumpulan Mukun Kamek dari Kampung Tabuan Melayu.

Turut membuat persembahan kumpulan ORKES Melati Yayasan Budaya Melayu Sarawak yang mempersembahkan lapan lagu Melayu Asli.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru