QUEENSLAND: Seorang guru wanita yang dipercayai mabuk, selalu pengsan semasa mengajar di kelasnya di Queensland, Australia.

Guru itu dikatakan mempunyai banyak masalah peribadi yang sering kali menyebabkan dia tertekan.

Pada 2016, guru itu membawa valium ke sekolah untuk menenangkan dirinya setelah bertengkar dengan bekas suaminya.

Pada waktu rehat sekitar 10 pagi, dia mengambil ubat itu dengan mencampurnya dengan vodka sebelum kembali mengajar.

Akibatnya dia pengsan semasa mengajar dan dikejarkan ke hospital. Sebulan selepas itu sekali lagi dia mengambil valium dengan cara yang sama.

Dia ditemui oleh pengetua sekolah sedang tidur di kelas.

Pengetua menasihatkannya agar tidak memandu pulang dalam keadaan mabuk, namun dia tidak mengendahkan nasihat tersebut dan hasilnya dia ditahan polis semasa memandu dan dikenakan saman.

Seterusnya pada 2018, guru itu sekali lagi pengsan di pustaka dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Ujian darahnya mengandungi alkohol.

Berikutan pelbagai masalah dihadapinya, dia dihadapkan ke mahkamah Lembaga Displin Sekolah Queensland dan dilarang mengajar dua tahun serta diarah menjalani rawatan untuk masalah ketagihan alkoholnya.

Dia juga diminta menjalani ujian darah pada setiap bulan dan jika semuanya bersih dia boleh mengajar semula selepas enam bulan.

Apabila dia sudah mula mengajar, ujian darah itu tetap diteruskan.

Kes wanita ini begitu membimbangkan sehingga ia menarik perhatian Menteri Pendidikan Queensland, Grace Grace, yang memuji cara lembaga tersebut menyelesaikan masalah ini.