KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin jika India memboikot minyak sawit negara, rakyat akan terkesan dengan teruk sekali terutamanya lebih 600,000 pekebun kecil sawit dan 100,000 peneroka FELDA yang kini berpendapatan sangat rendah.

Ismail menimbulkan persoalan apa yang akan berlaku kepada pendapatan golongan terbabit, adakah menyusut teruk kepada RM100 atau RM50 sebulan yang mana ia jelas merupakan satu penganiayaan kepada rakyat jika tsunami sekatan sawit India itu benar-benar belaku.

“Ancaman dari India adalah realiti. Walaupun kerajaan mereka masih belum buat keputusan, ancaman itu cukup untuk membuatkan pembeli CPO (Minyak Sawit Mentah) India akan beralih kepada Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tiada apa lagi yang rakyat boleh harapkan pada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana PH terus menerus membawa kerosakan kepada Malaysia.

“Elok benarlah dibubarkan sahaja parlimen,” ujarnya.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar itu juga merasa terkesan dengan nasib yang menimpa 762,635 pekebun kecil dan peneroka sawit yang jelas makin terancam sejak PH memerintah di mana segalanya menjadi semakin memburuk dari hari ke hari.

“Pada penghujung 2018, sawit mengalami penurunan drastik hingga ratusan ribu pekebun kecil terjejas. Dahulu pendapatan purata peneroka sawit cecah RM1500 – RM2000. Kini jatuh mendadak! Cuma tinggal hanya RM300 sahaja sebulan.

“Terbaru, industri sawit Malaysia menerima episod lebih malang apabila pelbagai laporan media dalam dan luar negara menyentuh mengenai ancaman Kerajaan India untuk memboikot kelapa sawit negara,” katanya lagi.