104 murid tahun enam sertai Khatam Al-Quran SK Abang Leman Kabong

KABONG: Seramai 104 murid tahun enam menyertai Majlis Khatam Al-Quran beramai-ramai anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong di sini pagi ini.

Daripada jumlah itu 9 peserta adalah dari SJKC Chung Hua Kabong yang turut serta dalam majlis pada tahun ini.

Sempena khatam Al-Quran pada kali ini turut diadakan pertandingan usungan. Sebanyak 30 usungan menyertai pertandingan kali ini.

ADUN Kabong , Mohd. Chee Kadir menyumbang sebanyak RM7, 000 untuk majlis kali ini.

Chee yang tidak dapat hadir diwakili oleh Pegawai Daerah Kabong, Haji Rashdan Haji Hazemi.

Berucap merasmikan majlis Rashdan melahirkan rasa bangga dengan penganjuran majlis sedemikian kerana ia dapat memartabatkan penghayatan kandungan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Beliau seterusnya berharap agar dipertingkatkan aktiviti menghayati al-Quran dalam kalangan murid sekolah dan juga penduduk setempat.

Hadir sama Guru Besar SK Abang Leman, Mokhtar Jaya, Penghulu Haji Sani Haji Mohamad, Penghulu Haji Jarawi Haji Amir dan tetamu jemputan yang lain.