Saturday, June 25, 2022

Jangan politikkan Belanjawan 2020

Secara Rawak

Minggu lepas, pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan iaitu YB Tuan Lim Guan Eng telah menerima pelbagai maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat. Belanjawan 2020 sebanyak RM297 bilion yang bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama” kini hangat diperbahaskan di Dewan Rakyat. Malahan bukan hanya hangat diperbahaskan di Dewan Rakyat tetapi turut hangat diperdebatkan oleh rakyat.

Di Bumi Kenyalang, rakyat pelbagai lapisan turut serta berdebat berkaitan dengan belanjawan kali ini. Ada yang memberi maklum balas positif dan tidak kurang juga yang memberi maklum balas negatif. Malah, ramai juga yang tidak berpuas hati dengan belanjawan yang didakwa tidak adil dan sebagainya. Belanjawan ini perlu dilihat dengan positif. Ini kerana banyak penambahbaikan dalam kaedah pengagihan belanjawan kepada Sabah dan Sarawak.

Persoalannya, sejauhmanakah peruntukan yang diagihkan akan sampai kepada rakyat? Apa pendekatan yang dilakukan agar visi kemakmuran bersama dapat diterjemahkan melalui belanjawan ini? Sama-sama kita renungkan persoalan ini.

Bagi belanjawan 2020, kerajaan PH telah memperuntukan sebanyak RM9.6 bilion kepada Sabah dan Sarawak. Sejumlah RM4.4 bilion bakal disalurkan kepada Sarawak dan RM5.2 bilion kepada Sabah. Ternyata peruntukan ini bertambah kalau nak dibandingkan dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu. Malahan, dalam Belanjawan 2020, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutama di Sabah dan Sarawak.

Malahan, pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga telah ditambahkan sekali ganda dalam belanjawan 2020 iaitu sebanyak RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak. Sejak tahun 1969, kadar Pemberian Khas tahunan ini iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak belum pernah disemak semula sepanjang pentadbiran kerajaan UMNO-BN. Lebih kurang 50 tahun, pemberian khas ini tidak pernah disemak. Persoalannya ialah, kenapa para pemimpin daripada Sabah dan Sarawak tidak pernah mempersoalkan perkara ini sebelum ini?

Pemikiran yang positif harus diketengahkan dalam merungkai belanjawan ini. Realiti memang tepat bila menyatakan bahawa belanjawan ini tidak seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto PH semasa PRU 14 lepas terutama untuk Sabah dan Sarawak. Namun begitu, hakikat bahawa kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk merealisasikan apa yang dijanjikan dengan kadar segera harus dipertimbangkan. Kekangan kewangan menghimpit kerajaan untuk menunaikan janji yang pernah ditawarkan dalam manifesto mereka sebelum ini.

Pandangan simplistik dan enteng harus diketepikan dalam mengemukakan pandangan berkaitan dengan belanjawan 2020 ini. Usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan PH dalam menambah amaun peruntukan untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak harus dipandang positif oleh semua lapisan masyarakat di Sabah dan Sarawak. Kesedaran kerajaan persekutuan melihat jurang pembangunan yang amat ketara antara Sabah dan Sarawak dengan semenanjung diterjemahkan dalam pertambahan peruntukan pembangunan kepada kedua-dua buah negeri ini.

Apa yang diharapkan oleh rakyat Sarawak agar setiap perincian pembangunan ini dapat menembusi setiap pelosok negeri Sarawak. Tidak payah nak mempolitikan belanjawan ini untuk meraih publisiti murahan. Kini, tindakan yang harus dilakukan oleh kerajaan negeri ialah memastikan peruntukan pembangunan termasuk untuk membaiki sekolah-sekolah daif terutama di Sarawak dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya pada tahun hadapan.

Harapan rakyat Sarawak agar kedua-dua buah kerajaan mengambilkira berkaitan dengan bantuan atau pendekatan bagi meringankan kos sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan dan melihat kembali harga pasaran tanaman komoditi yang telah lama meresahkan rakyat. Apa pun, dengan belanjawan kali ini, semoga ia dapat menterjemahkan visi kemakmuran bersama yang telah diuar – uarkan oleh kerajaan Malaysia baharu ini.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru