COLOMBIA: Rekod Buku Guinness membabitkan telur hancur terbesar dunia berjaya dipecahkan di Colombia baru-baru ini.

Pertubuhan Fenavi iaitu Pertubuhan Penternak Ayam Nasional Colombia dan bandar raya Soacha bergabung tenaga memasak 62,000 biji telur di dalam periuk sepanjang 40 kaki.

Ratusan sukarelawan terlibat dalam misi menghasilkan telur hancur seberat 6,860.8 paun ini.

Kementerian Kesihatan Soacha mengawasi penyediaan hidangan makanan ini bagi memastikan ia selamat dimakan.

Wakil buku Guinness juga hadir mengesahkan telur hancur tersebut berjaya mengalahkan rekod sebelumnya seberat 5,436.6 paun yang dilakukan di Mauritius pada 2018.

Telur ini kemudiannya diagihkan percuma di dua lokasi di bandar tersebut, manakala kulit telur pula digunakan sebagai baja tanaman.