SARIKEI: Seni silat mampu membina kecergasan, disiplin diri dan kemahiran sosial terutama dalam kalangan generasi muda.

Ia bukan sekadar gerakan fizikal tetapi juga senaman yang mampu memperkasakan displin dan jati diri pengiatnya.

Bertitik tolak daripada kesedaran itu, komuniti belia Taman Susur Jambu di sini menubuhkan kumpulan persilatan Nagasari bagi menggalakkan penyertaan golongan muda selain mencegah mereka daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat.

Sehubungan itu, pengasasnya, Shardi Wahid berkata, Nagasari yang ditubuhkan pada 2018, kini mempunyai seramai 25 orang ahli berusia antara empat hingga 45 tahun.

Bagi memperkasakan kemahiran ahli katanya, mereka kerap mengadakan latihan sekurang-kurangnya dua jam pada setiap Ahad.

“Kami mempraktikkan cabang silat daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Setakat ini, sesi latihan dibimbing dua jurulatih profesional yang berpengalaman,” katanya kepada media.

Beliau berkata, penubuhan kumpulan seni silat itu merupakan salah satu langkah untuk menyemai sikap positif dalam kalangan generasi muda di kawasan perumahan itu.

Selain dapat mempelajari seni mempertahankan diri katanya, mereka juga dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

“Sekurang-kurangnya anak-anak kita diberikan asas untuk mempertahankan diri, sekali gus mengelakkan mereka terus menjadi sasaran terutama penjenayah.

“Pendedahan kepada seni bela diri juga mampu menjadi ‘perisai’ khususnya perempuan ketika berdepan situasi mencemaskan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh menghulurkan sumbangan sebanyak RM2,500 bagi membantu pelaksanaan aktiviti kumpulan berkenaan.

Sumbangan itu membuktikan kerajaan melaksanakan pembangunan seimbang dengan tidak mengenepikan kepentingan belia.

“Kami akan memanfaatkan peruntukan ini untuk keperluan peralatan latihan silat seperti tatami matres dan perlindungan badan.

“Saya mewakili Nagasari ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan sumbangan yang dihulurkan,” jelasnya.