KUCHING: Sarawak merancang untuk membangunkan pelan induk e-dagang bagi memanfaatkan potensi yang ada dalam industri pesat membangun, yang bertujuan menjadikan perniagaan dalam talian satu usaha niaga serius oleh usahawan tempatan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu penting dalam melengkapkan strategi ekonomi digital negeri, yang dilancarkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi ke arah mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Satu daripada komponen penting dalam strategi itu adalah e-dagang, sebagai aliran perniagaan utama susulan kecanggihan teknologi komunikasi dan maklumat serta teknologi digital, menjadikan e-dagang mudah diterima guna masyarakat secara keseluruhannya.

“Lebih penting ialah kita kini hidup dalam era global yang membolehkan kita menjalankan perniagaan rentas sempadan secara lebih mudah dibantu Internet Pelbagai Benda serta globalisasi,” katanya dalam ucaptama di Forum E-Dagang Sarawak 2019 di sini, semalam seperti dipetik Bernama.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais.

Abang Johari berkata menurut eMarketer.com, pada 2018 sahaja, e-dagang Malaysia merekodkan perolehan sebanyak US$1.31 bilion (RM5.49 bilion) bagi seluruh kategori produk, dan ia dijangka meningkat kepada US$2.53 bilion (RM10.6 bilion) pada 2022.

Beliau berkata penduduk Sarawak, telah berbelanja kira-kira RM19.42 juta menerusi platform dalam talian seperti Zalora, Lelong.com dan Qoo10 pada 2018.

“Kenaikan pendapatan, pertambahan telefon pintar dan penembusan Internet merupakan faktor yang mengembangkan pasaran dalam talian Malaysia dan mengukuhkan perolehannya, yang dijangka merekodkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 11.4 peratus bagi tempoh 2019 hingga 2023,” katanya.

Justeru itu, beliau menyeru rakyat Sarawak agar memanfaatkan kemudahan telah sedia ada, mengikuti trend dan teknologi, selain menjadi kreatif dan inovatif untuk mencipta produk, perkhidmatan dan strategi baharu.

“Dunia e-dagang kini masih sedang berkembang pesat dan tidak terlambat untuk kita menyertainya. Oleh yang demikian, saya mahu menggalakkan supaya kita terus belajar dan mencari kemahiran baharu dan teknologi agar kekal relevan dan berdaya saing dalam industri e-dagang.

“Jangan berpuas hati dengan apa yang telah anda capai sebaliknya manfaatkan peluang ini untuk meneroka lagi banyak kemungkinan yang boleh memberi faedah kepada kita di samping memilih bidang yang sesuai dengan kekuatan dan minat,” katanya.