KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin perpindahan ibu  kota Indonesia akan memberikan kesan positif kepada Sabah dan Sarawak terutamanya dari segi pertumbuhan ekonomi.

Katanya, perpindahan ibu kota dari Pulau Jawa ke Kalimantan pada 2024 akan menyaksikan banyak pembangunan dilaksanakan di kawasan baharu itu termasuk pembangunan infrastruktur.

“Memandangkan kita dekat dengan ibu kota baharu itu nanti, sudah tentu ia akan membantu dari segi membekalkan tenaga elektrik sekiranya mahu dan ini akan memberi keuntungan kepada ekonomi kita,” jelasnya.

Abang Johari berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat  terhadap Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana negeri di sini,semalam.

“Pada masa kini pun kita menjalin kerjasama erat dengan Kalimantan Barat untuk tujuan mengeksport tenaga elektrik ke kawasan itu,” katanya lagi.

Presiden Joko Widodo secara rasmi mengumumkan lokasi  baharu ibu kota Indonesia. 

Kerajaan memutuskan untuk memindahkan ibu kota dari Jakarta ke sebahagian Kabupaten Penajam Paser Utara dan sebahagian Kabupaten Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur. 

Jelas Jokowi, beban di Jakarta dan pulau Jawa sudah terlalu berat. 

Dengan demikian, ia memutuskan ibu kota baharu harus di luar pulau Jawa. 

Antara alasan perpindahan itu ialah penduduk Jawa terlalu padat, Jakarta mengalami pemendapan dan kesesakan lalu lintas, sumbangan ekonomi kepada Indonesia,  dan krisis bekalan air.

Jokowi berkata segala aspek pemindahan sedang dikaji secara terperinci.

Negara itu juga, katanya, akan belajar daripada pengalaman negara lain yang memindahkan ibu kota negara masing-masing.