KUCHING: Seorang lelaki maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Poi-Ngemah, Kanowit pada jam 7.05 malam Selasa.

Mangsa dikenali sebagai Febrenus Harry Usup berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kanowit.

Difahamkan Febrenus merupakan pemain gitar bas sebuah kumpulan penyanyi Iban, Tamang Raja yang popular dengan lagu “Tikas Pengerindu”.

Malah, laman Facebook Tamang Raja turut mengesahkan kehilangan anggota kumpulannya itu, Febrenus yang lebih disapa sebagai Fred Venus.

Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan kekuatan lima anggota diketuai oleh PBK II Labang Bunsu bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta jenis Produa Axia yang terbabas dan masuk ke dalam parit tepi jalan serta dalam keadaan terbalik.

“Kita mendapati seorang mangsa (pemandu) masih terperangkap di tempat duduk dan tidak sedarkan diri,” kata Labang.

Katanya, pasukannya terus bertindak mengeluarkan mangsa tanpa menggunakan peralatan penyelamatan.

Bagaimanapun, tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh oleh pegawai perubatan Hospital Kanowit yang turut berada di tempat kejadian sebelum diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.