KUCHING:  Satu lagi acara menarik akan diadakan di bandar raya ini sebagai langkah menarik pelancong dan mencergaskan aktiviti di sini sekali gus selari dengan Kempen Melawat Sarawak.

Karnival Boneka Hutan Hujan Sedunia (RWPC) dari 11 hingga 16 November akan menyaksikan  penyertaan 17 buah negara.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, sejumlah 56 pemain boneka yang akan membuat persembahan.

“Persembahan oleh pemain boneka dari seluruh dunia ini akan memberi lebih makna dari segi pengalaman pelancong yang berkunjung ke sini,”  katanya pada sidang media mengenai karnival di sini, semalam.

Jelasnya, satu bengkel turut ditumpukan pada acara ini nanti, yang membantu mencipta Malaysia Book of Record dalam kategori ‘The most number of puppeteers in a single parade.

Karnival itu ialah  anjuran World Arts Convention bersama-sama Society for Arts and Handicraft Sarawak.
Ia  disokong dan dibiayai Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Tempat bagi mereka yang berminat menyaksikan persembahan berkenaan adalah terhad, justeru orang ramai dinasihati supaya mendapatkan tiket dengan segera.