KUCHING: Sejarah bakal tercipta apabila 1,000 pemain hadrah berhimpun membuat persembahan  di Padang Merdeka pada 26 Oktober ini, yang akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Sasaran mencipta nama di dalam MBOR akan turut mengangkat dan memartabatkan budaya Melayu bukan sahaja di peringkat nasional, malah di persada antarabangsa.

Ketika meninjau persiapan dibuat oleh kumpulan hadrah semalam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan, Datu Dr Sabariah Putit, melahirkan rasa kagum dengan kesungguhan Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA) dalam persediaan mencipta nama di dalam MBOR untuk pertunjukkan hadrah terbesar di Malaysia.

“Usaha mencatat nama di dalam Malaysia Book of Records ini diharap akan dapat mencetus semangat dan menggalak lebih ramai anak muda terlibat memelihara seni warisan budaya bangsa ini,” katanya selepas menyaksikan latihan mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama.

Datu Dr Sabariah turut melahirkan rasa terujanya dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan peserta-peserta Hadrah MBOR 2019.

“Tadi saya melihat bukan sahaja anak-anak kecil tetapi mereka yang sudah berusia pun begitu teruja.

“Ia akan memberi platform kepada semua bukan sahaja bangsa Melayu, tetapi juga pelbagai bangsa untuk menikmati warisan kita,” katanya.

Hadrah MBOR 2019 adalah salah satu daripada acara yang diadakan sempena Temasya Warisan OKSHE 2019.

Salah seorang peserta, Noraini Lepong dari Kampung Pasir Pandak yang mewakili Kumpulan An-Nur Sri Sejinjan, menyokong usaha ini dan menyifatkannya usaha terbaik bagi memartabatkan warisan budaya Melayu supaya tidak ditelan zaman.

“Saya amat teruja sekali dan berbangga kerana pihak KEWARISMA mengadakan program seperti ini dan saya mengharapkan program sebegini diteruskan untuk generasi akan datang.

“Ia juga perlu  dimartabatkan ke luar negara dan diperkenalkan di seluruh di dunia,” katanya.

Seramai 1,000 peserta Hadrah MBOR 2019 kini sedang giat menjalani latihan sebelum acara kemuncak pada 26 Oktober di Padang Merdeka.

Ketua Penyelaras Hadrah MBOR 2019, Haji Mazalani Suut, ketika ditemui berkata, sehingga kini persiapan peserta telah mencapai 90 peratus dan mereka begitu bersemangat untuk mencipta rekod di dalam MBOR.