Tujuh pesilat muda tamatkan latihan

KUCHING: Tujuh pesilat muda menamatkan latihan seni mempertahankan diri pada majlis Makan Namat, Perguruan Seni Silat Hidayah Pukulan Chik Dahlan, pada Sabtu. 

 Majlis itu diadakan sempena Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) 2019 anjuran OKSHE dengan kerjasama Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA) dan Perguruan Silat Hidayah Pukulan Chik Dahlan. Acara berlangsung di Padang Futsal, Kampung Bintangor Kecil di sini. 

Pesilat muda yang rata-rata berusia 18 hingga 37 tahun mengikuti latihan seni silat lebih lima tahun dengan perguruan berkenaan. 

Pada majlis Makan Namat itu, pesilat diberi ‘mandi’ dengan air yang terlebih dahulu dibaca oleh Guru Utama Perguruan Silat Hidayah Pukulan Chik Dahlan, Morshidi Maton di hadapan orang ramai.

Menurut guru muda Perguruan Silat Hidayah Pukulan Chik Dahlan, Jafery Mahli, Makan Namat merupakan upacara tamat belajar silat dan setiap perguruan itu berbeza sambutannya.

Katanya, meskipun sudah selesai mengikuti latihan silat, ini tidak bermakna ilmu mereka terhenti di sini sahaja sebaliknya, mereka akan mewarisi ilmu silat kepada generasi baharu akan datang.

“Kita tidak mahu seni silat ini berhenti di sini sahaja sebaliknya, orang muda mesti mempertahankan seni dan warisan silat sampai bila-bila,” katanyaselepas Malam Makan Namat Perguruan Silat Hidayah Pukulan Chik Dahlan.