Friday, October 7, 2022

Sabah, Sarawak setuju tingkatkan kerjasama

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak bersetuju meningkatkan kerjasama berkaitan industri minyak serta gas bagi memanfaatkan sepenuhnya kedudukan kedua-dua negeri terbabit sebagai pengeluat terbesar sumber petroleum negara.

Ini dijelaskan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan rakan sejawatannya, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg selepas kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Abang Johari menjelaskan pihaknya terbuka untuk membincangkan kerjasama itu, khususnya yang berkaitan dengan kepentingan bersama dalam industri minyak dan gas.

“Sarawak mengeluarkan 56 peratus gas negara, manakala 24 peratus minyak mentah, Sabah keluarkan lebih banyak minyak. Jadi, sudah tentu kita akan berbincang atas kepentingan bersama,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Ini kunjungan hormat pertama Abang Johari terhadap Mohd Shafie selepas gabungan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengambil alih kerajaan negeri.

Mohd Shafie berkata, Kerajaan Sabah sedia bekerjasama, termasuk dalam sektor hiliran minyak dan gas, seiring kedudukan kedua-dua negeri itu yang berjiran, selain pernah bekerjasama dalam sektor lain seperti industri simen.

“Kita akan lihat bidang yang kita boleh bekerjasama. Kita sedar Sarawak lebih ke hadapan berbanding Sabah, terutama dalam industri hiliran minyak dan gas. Kita perlu lihat gambaran lebih besar kepada negara. Ini penting dan sebab itu kita perlu hubungan yang erat untuk merealisasikannya.

“Selama ini kita banyak menyumbang kepada negara, namun jangan lupakan apa rakyat di Sabah dan Sarawak perlukan. Kita akan bekerjasama untuk merealisasikannya kerana dulu kita pernah buat dalam industri simen, ia memberi manfaat kepada kedua negeri,” katanya lagi.

Mengenai tuntutan royalti minyak yang tidak disebut dalam Belanjawan 2020, Mohd Shafie berkata perkara itu dibincangkan berasingan antara Kerajaan Pusat dan kedua-dua negeri seperti diminta oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Shafie turut menjelaskan beliau akan membahaskan lebih lanjut Belanjawan 2020 bagi mendapatkan perhatian Kerajaan Pusat berhubung keperluan Sabah dan Sarawak di Parlimen.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru