MIRI:  Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg menyifatkan Yang di-Pertua Negeri Tun  Abdul Taib Mahmud sebagai tokoh kepemimpinan yang banyak berjasa kepada negeri dan negara.

Jelasnya, semenjak Sarawak diberi kuasa pemerintahan sendiri pada Julai 1963 dan penubuhan Malaysia 56 tahun lalu, Tun Taib telah menunjukkan keupayaan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa, keturunan dan pegangan agama di Sarawak.

“Perpaduan rakyat Sarawak telah lama dipupuk dan diperkukuhkan di bawah kepimpinan Tun Taib selama tempoh Tun menjadi Ketua Menteri Sarawak dari tahun 1981 hingga 2014,” katanya.

Tun Taib menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun dari 1981 hingga 2014 sebelum dilantik ke jawatan sekarang.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-83 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Stadium Miri, semalam.

“Malah, beliau  juga telah menunjukkan ketokohan sebagai pemimpin kerajaan yang bersifat ‘visionary’ dalam usaha membawa pembangunan jangka panjang kepada Sarawak dan rakyatnya dengan program perindustrian yang menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya lagi.

“Sempena dengan sambutan hari jadi ke-83 Tun Taib, kita berdoa agar Allah SWT sentiasa memelihara keselamatan dan kesihatan Tun dan Toh Puan dan terus menjadi payung keharmonian dan kemakmuran Negeri Sarawak,” katanya.

Ketua Menteri berkata, kehadiran masyarakat di sekitar Miri pada sambutan itu melambangkan perpaduan dan penyatuan rakyat Sarawak tidak kira bangsa dan agama.