BINTULU: Seramai 452 calon Peperiksaaan SPM SMK Bandar Bintulu telah menghadiri Majlis Restu Ilmu yang telah diadakan di sebuah hotel terkemuka di bandar ini baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Majang Anak Renggi, Ahli Dewan Undangan Negeri, N. 70 Samalaju.

Dalam ucapannya, Majang menyatakan pelajar-pelajar sekarang ibarat berada di 10 meter terakhir di dalam acara pecut 100 meter.

“Saya menyeru agar pelajar-pelajar memecut ke garisan penamat dengan melipat gandakan usaha. Jangan sampai terkulai keletihan sebelum sampai ke garisan penamat. Di waktu inilah memerlukan ketenangan. Jangan panik dan tidak ketentuan emosi. Kembali fokus dan terus berusaha, berdoa untuk kejayaan anda semua”

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar Tingkatan 5 SMK Bandar Bintulu, kerana telah berjuang dalam arena ilmu ini, dan semua usaha pelajar-pelajar selama ini akan dinilai dengan menduduki ujian SPM 2019, yang mana peperiksaan inilah yang akan menjadi penentu kejayaan pelajar-pelajar di masa akan datang. Kita sentiasa doakan agar kejayaan yang akan dibawa pulang oleh pelajar-pelajar akan mampu menyerikan wajah-wajah ibu bapa anda nanti” tambah beliau.

Majang Anak Renggi, Ahli Dewan Undangan Negeri, N. 70 Samalaju.

Menurut Pengetua SMK Bandar Bintulu, Patrick Phillip Moss, objektif majlis bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar memohon restu daripada guru-guru dan ibu bapa mereka agar memperoleh keberkatan ilmu sebagai bekalan paling berharga untuk menghadapi SPM.

“Selain itu, majlis ini dapat menyemai perasaan menghargai, bersyukur dan
berterima kasih kepada ibu bapa, guru dan pihak sekolah.

Membina hubungan erat sesama pelajar dan guru supaya berlapang dada menjelang peperiksaan SPM nanti,” tegur beliau.

Turut hadir dalam majlis tesebut ialah Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Fred Anak Entau, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Selangau, Encik Jambai Anak Sayong, YDP PIBG SMK Bandar Bintulu, Encik Ricky Sii Chee Hwa para guru, ibu bapa dan pelajar Tingkatan 5.