Belanjawan 2020 ini secara kasar cuba melangkau keseluruhan mahu ini mahu dilihat adil dan menyeluruh dalam konteks berdepan dengan hambatan ekonomi ketika ini. Peruntukan dibuat mengambil kira seluruh rakyat, termasuk di negeri bukan ditadbir Pakatan Harapan (PH). Misalnya kerajaan akan turut membina sekolah baharu di Tumpat (Kelantan) dan Marang (Terengganu), selain klinik baharu di Cameron Highlands (Pahang) serta Simunjan (Sarawak).

Dari satu sisi, belanjawan ini cuba berlaku adil dan menyeluruh, walaupun tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak, kerana ada kekurangan dan kelebihan tertentu.Terdapat juga ironi dan kepelikan dalam pemberian elaun sara hidup. Misalnya, Elaun Sara Hidup Nelayan, ketika kerajaan BN dahulu ialah RM300, kemudian PH memberikan RM200 dan untuk tahun depan dinaikkan kepada RM250. Ternyata PH, masih tidak dapat menyaingi keupayaan kerajaan BN.

Cadangan kerajaan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan juga menunjukkan Kerajaan akui isu kos sara hidup di bandar besar.Peruntukan sebanyak RM23 juta bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) juga sesuai dengan keprihatinan kerajaan terhadap golongan itu. Sebenarnya banyak aspek membabitkan OKU, termasuk latihan dan pekerjaan. Namun, peruntukan kerajaan ini boleh menjadi sebagai langkah permulaan.

Walaupun ekonomi belum pulih, kalau kita lihat jelas komitmen kerajaan dalam isu. Setiap belanjawan mempunyai kekuatan dan kekurangan tetapi kerajaan pusat menerusi Belanjawan 2020 dilihat cuba melakukan terbaik bagi memastikan keadilan kepada semua.

Gaji M40, Hidup B40

Bagaimanapun persepsi tentang pencapaian atau prestasi sesebuah kerajaan dipengaruhi oleh banyak faktor lain.Dalam konteks ini tidak semua dapat puaskan hati. Mungkin golongan pertengahan M40 tidak berpuas hati apabila tumpuan lebih pada B40.

Masalah M40 adalah gaji kasar mereka adalah M40 tetapi gaji bersih adalah kategori B40. Seringkali bajet tahunan dilihat mengabaikan golongan pertengahan dan ini juga berlaku dalam Belanjawan 2020.

Walaupun kerajaan menyatakan mereka berjaya menyelesaikan hutang kerajaan lalu tapi pada masa sama, terpaksa mengurang dan memotong peruntukan lain seperti pembangunan inftrastruktrur.

Tindakan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mungkin dianggap tanggungjawab yang kerajaan perlu buat dan pencapaian buat mereka, tetapi pada masa sama banyak lagi kerajaan perlu dilakukan untuk memastikan negara terus maju dan makmur.

Impak Belanjawan

Mengenai impak Belanjawan 2020 terhadap kerajaan Pakatan Harapan didapati banyak isu yang tidak dapat diatasi sepenuhnya. Apabila banyak isu berkaitan kos sara hidup semakin tinggi, peluang pekerja, isu yuran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tinggi maka Belanjawan 2020 tidak mampu sepenuhnya menangani isu-isu ini kerana ia mengambil masa yang lama dan langkah menyeluruh untuk diselesaikan.

Apa yang pasti kepercayaan dan sokongan rakyat semakin menurun dan perlu ditangani bukan sahaja melalui belanjawan. Namun ahli politik PH mahu dilihat bahawa pembentangan Belanjawan 2020 kali ini sebagai prihatin dalam memberi pelbagai insentif kepada rakyat dan pelbagai peruntukan lain. Namun ternyata peruntukan Sarawak kurang berbanding Sabah. Ini kerana Sabah negeri mesra PH sedangkan Sarawak tidak.

Selain itu, pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan OKU sebanyak RM300 pada tahun hadapan antara contoh menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan bersikap prihatin dalam membantu golongan kurang bernasib baik itu. Bantuan kepada golongan OKU ini menunjukkan kerajaan begitu prihatin meskipun kemudahan ini sangat penting untuk mereka menjalani kehidupan seharian selain mendapat peluang pekerjaan.

Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 pelbagai institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk pusat jagaan kanak-kanak, OKU dan warga emas.

Sebanyak RM20 juta juga diperuntukan untuk lima Pusat Latihan Berdikari baru, program latihan bagi Sindrom Down dan Taska OKU. Begitu juga, pada masa yang sama, perkhidmatan latihan dan tunjuk ajar yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan latihan kepada golongan OKU akan dikecualikan cukai perkhidmatan.

Peningkatan gaji minimum kepada kepada RM1,200 sebulan hanya di bandar utama adalah suatu yang wajar. Kalau kita lihat dulu kenaikan kos sara hidup dianggap isu persepsi oleh kerajaan tetapi kali ini kerajaan mula menyedari ia adalah realiti yang berlaku hari ini.

Bajet Sabah dan Sarawak

Terdapat RM587 juta akan diperuntukan untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar, dengan RM470 juta untuk Sabah dan Sarawak bagi memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih.

Belanjawan kali ini akan membelanjakan RM500 juta untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar dengan majoriti penerima faedah tinggal di Sabah dan Sarawak.
Pembinaan jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, diberikan keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion di seluruh Malaysia dan tumpuan diberikan untuk membina jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak. Ini dapat dilihat melalui Projek-projek di Sabah sebanyak RM326 juta dan Sarawak sebanyak RM224 juta akan memberi faedah kepada 145,000 penduduk.

Sarawak tetap kecewa

Bagi negeri bukan di bawah Pakatan Harapan, ternyata Sarawak hanya mampu melahirkan ketidakpuasan hati mereka kerana belanjawan kurang memberikan impak kepada pembangunan negeri Sarawak. Inilah risiko yang perlu ditanggung oleh negeri yang bukan diterajui oleh Pakatan Harapan.

Peruntukan pembangunan Sarawak kurang berbanding dengan negeri Sabah yang mesra Pakatan Harapan. Sabah menerima RM 5.2 bilion berbanding Sarawak hanya RM 4.4. billion, meskipun Sarawak lebih besar daripada saiz Sabah. Ternyata Sarawak dan Sabah hanya menerima 17.1 peratus daripada peruntukan dalam belanjawan berbanding 30 peratus yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Belanjawan juga dikritik kerana tidak memulangkan kembali 50 peratus cukai yang dikutip di Sarawak sedangkan ini merupakan manifesto Pakatan Harapan Sarawak. Sarawak juga menerima nasib buruk apabila pemberian khas Sabah RM106.8 juta manakala Sarawak hanyalah RM64 juta dalam tempoh lima tahun.

Meskipun terdapat pertambahan RM32 juta, ia tetap kecil berbanding 20 peratus royalti minyak sebagaimana dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan. Sedangkan pengeluaran minyak Sarawak boleh mencecah ratusan juta ringgit setahun. Ini tidak seindah dengan apa-apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam Manifesto Pakatan Harapan.

Terdapat juga kritikan bahawa belanjawan ini hanya mengisi apa-apa yang telah diluluskan oleh BN pada tahun 2016 dan 2017 khususnya mengenai pembangunan luar bandar untuk bekelanan elektrik, air bersih dan jalan raya, namun dibatalkan oleh Pakatan Harapan selepas pilihan raya ke-14 lalu. BRIM pada zaman BN dahulu ialah RM 500 namun di bawah kerajaan PH dinaikkan dari RM100 ke RM300 sahaja, masih kurang dapat menandingi jumlah pemberian oleh BN.

Tahun hadapan Wawasan 2020 bakal tiba. Namun belanjawan 2020 dilihat kurang perisa berbanding intipati yang ingin dicapai dalam Wawasan 2020. Maka, tidak hairan wawasan ini tidak dapat dicapai hingga terpaksa dianjak kepada 10 tahun akan datang, iaitu 2030.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.