KUCHING: PH gagal mengembalikan hak Sarawak.

Itu rumusan Ketua Penerangan PAS Sarawak terhadap Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng Jumaat lalu.

Zharudin Narudin menegaskan, memang sudah dijangka PH gagal memenuhi janji dalam manifesto menjelang PRU-14.

Dalam manifesto berkenaan, janji teras PH adalah untuk mengembalikan status Sarawak dan Sabah  ke kedudukan asal berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Antara janjinya ialah mencipta 500,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun. Dan memastikan ekonomi Sabah dan Sarawak berkembang dengan lebih pesat demi kemakmuran hidup rakyat pada keseluruhannya. 

“Dengan belanjawan kali ini, sekali lagi PH Sarawak gagal untuk mendapatkan 50 peratus daripada cukai dipungut dan 30 peratus daripada peruntukan pembangunan untuk Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

“Berdasarkan jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan, Sarawak hanya menerima 7.8 peratus daripada RM56 bilion peruntukan,” katanya lagi.

“Manakala untuk keseluruhan Sabah dan Sarawak hanya menerima 17 peratus, jauh daripada sasaran 30 peratus seperti dalam manifesto PH,” tegasnya.