KUCHING: Prihatin terhadap keperluan  pembangunan di Sarawak.

Itulah rumusan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkenaan Belanjawan 2020 Kerajaan Persekutuan  yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat Jumaat lalu.

Beliau berkata pada tahun ini, buat pertama kalinya, kerajaan Pakatan Harapan menggandakan kadar pemberian  untuk kedua-dua negeri.

Namun,  untuk rekod dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh Gun Eng, pemberian khas kepada  Sarawak ialah RM32 juta manakala Sabah menerima RM 53.4.

Kadar pemberian khas  adalah RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun berbanding Sabah RM106.8 juta.

“Pemberian khas untuk Sarawak dalam Belanjawan sebelum juga ini tidak pernah disemak sejak tahun 1969 secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Jaziri berkata pembangunan jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa berjumlah RM224 juta untuk Sarawak akan membantu menaik taraf sosioekonomi penduduk luar bandar.

“RM4.4 bilion perbelanjaan pembangunan, mencatat jumlah tertinggi dalam sejarah Sarawak. Pada tahun lepas ia berjumlah RM4.346 billion dan tahun sebelumnya 4.336 bilion,” jelasnya.

Belanjawan 2020 juga menyaksikan sejumlah RM250 juta diperuntukkan bagi menyediakan akses jalur lebar melalui teknologi satelit yang melibatkan Sabah dan Sarawak melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) dalam memperkasakan perhubungan di kawasan luar bandar di Sarawak.

Dalam pada itu, bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar, sejumlah RM470 juta diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak bagi memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih melibatkan lebih 7,500 penduduk penduduk Sarawak yang akan mendapat manfaat.

Jaziri seterusnya  berkata Belanjawan 2020 jelas menampilkan keprihatinan  kerajaan, dengan penduduk Sarawak terutamanya di luar bandar ialah prioriti utama dalam usaha kerajaan membawa Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Sabah dan Sarawak, dengan peruntukkan sebanyak RM500 juta, ia akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar,” katanya lagi dalam kenyataan seperti dipetik Bernama.