KUCHING: Peruntukan khas sebanyak RM32 juta yang diumumkan melalui Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng Jumaat lalu masih jauh daripada janji 20 peratus bagi royalti minyak dan gas oleh PH dalam manifesto PRU-14, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Michael Tiang.

“Jumlah yang diperuntukkan di bawah Artikel 112D untuk 2020 adalah kecil berbanding pengeluaran minyak Sarawak untuk Kerajaan Persekutuan sekitar RM200 sehari,” katanya mengulas Belanjawan 2020 dalam satu kenyataan.

Tuang berkata, PH terus gagal mengotakan janjinya.

Dalam janji terasnya, PH berjanji untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Saya harap pemimpin PH Sarawak yang menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan, perlu menjelaskan kepada rakyat Sarawak, mengapa kita sebagai negeri pengeluar minyak, mendapat kurang daripada Sabah,” katanya lagi.

Untuk rekod, bagi peruntukan khas di bawah Artikel berkenaan, Sarawak mendapat RM32 juta  manakala Sabah menerima RM 53.4.

Kadar pemberian khas  adalah RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun berbanding Sabah RM106.8 juta.

“Adakah Belanjawan 2020 satu lagi alat politik untuk meminggirkan Sarawak,” kata Tiang.