MIRI: Rakyat Sarawak merupakan rakyat berwibawa yang mampu menentukan nasib dan mencorakkan masa depan mereka seperti mana-mana orang lain yang sudah berjaya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak harus bergerak mengejar status negeri maju dengan acuan sendiri menjelang 2030.

“Anak Sarawak ialah bangsa yang bermaruah dan tidak perlu bergantung kepada ‘tongkat’ yang disediakan oleh orang lain,” katanya.

“Kita juga satu bangsa yang mampu mencorakkan masa depan dan menentukan nasib sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-83 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Stadium Miri, semalam.

Jelasnya, Sarawak terkenal dengan budaya rakyatnya yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan  tidak mempunyai masalah dari segi agama.

“Malah, kerajaan Sarawak mempunyai inisiatif untuk membantu semua agama, selain daripada Islam untuk mempunyai rumah dan kemudahan-kemudahan ibadah yang lebih selesa melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR),” katanya.