KUCHING:  Masa peperiksaan sudah tiba untuk pelajar Tingkatan Lima di seluruh negara.

Seramai 36,021 pelajar di Sarawak akan menduduki peperiksaan SPM 2019 yang diadakan serentak di seluruh negara mulai 14 Oktober hingga 28 November depan.

Menurut kenyataan media Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, peperiksaan itu akan berlangsung dalam dua fasa iaitu fasa pertama dari 14 Oktober hingga 17 November, manakala fasa kedua dari 5 November hingga 28 November.

“Daripada jumlah itu seramai 32,802 pelajar atau 91.06 peratus merupakan calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 1,045 orang atau 2.90 peratus ialah calon Sekolah Menengah Swasta,” katanya dalam kenyataan itu.

Katanya, manakala, 416 orang atau 1.15 peratus merupakan calon sekolah di bawah agensi lain selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 1,758 orang atau 4.88 peratus adalah calon persendirian.

“Calon-calon berkenaan akan menduduki SPM di 298 pusat peperiksaan iaitu 249 pusat di SMK, 10 pusat sekolah agensi lain selain KPM, 13 pusat Sekolah Menengah Swasta dan 51 pusat persendirian di seluruh negeri ini,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran peperiksaan, JPN Sarawak berkata, seramai 281 penyelia kawasan dan 2,105 pengawas dilantik untuk mengendalikan peperiksaan SPM di negeri ini.

“Semua calon diingatkan supaya membawa kad pe-ngenalan atau kad perakuan serta pernyataan pendaftaran peperiksaan semasa menduduki peperiksaan berkenaan,”  kata kenyataan itu lagi.