KUCHING: Kerajaan Sarawak menyangkal satu laporan bahawa rizab minyak dan gas Sarawak hanya akan bertahan selama 10 tahun berdasarkan kadar pengeluaran tahunan.

Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Seri JC Fong berkata laporan ini tidak benar kerana Kerajaan Sarawak sedang menerokai lebih banyak sumber gas dan minyak di kawasan Bahagian Barat Sarawak.

“Rizab minyak dan gas semasa Sarawak dapat bertahan dua dekad lagi dengan lebih banyak penerokaan dijalankan.

“Pelbagai usaha kini sedang dilakukan untuk menerokai lebih banyak sumber minyak dan gas di bahagian barat Sarawak terutamanya kawasan luar pesisir Balingian.

“Pada masa ini, Sarawak telah menyumbang 60 peratus daripada LNG (gas asli cecair) dan 25 peratus pengeluaran minyak kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri JC Fong menegaskan Sarawak merupakan penyumbang ketiga tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Sarawak adalah menyumbang ketiga tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun fiskal semasa dan kini selepas Selangor dan Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, sekiranya minyak dan gas Sarawak diambil maka negeri itu akan berada di kedudukan di bawah tiga,” ujarnya.

Sekiranya mengambil kira Cukai Jualan Negeri (SST) yang dikenakan pada hari ini, Sarawak akan menerima hasil cukai berjumlah RM3 bilion berdasarkan asumsi Kerajaan Persekutuan menerusi Petronas membayar kepada Sarawak.

Sejak bertahun-tahun lalu, Sarawak telah menyumbang sejumlah RM660 bilion kepada tabung kebangsaan daripada hasil minyak tidak termasuk gas.