MIRI: Seorang lelaki warga emas ditemukan mati di dalam bilik tidur sebuah rumah di kawasan perumahan di Lorong 7, Krokop, di sini, pagi semalam.

Mangsa, lelaki tempatan dikenali sebagai Lim Chai Hock, 74,  ditemui setelah pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang menghidu bau busuk dari rumah tersebut pada pukul 10.16 pagi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata polis rondaan yang tiba ke lokasi mendapati semua pintu pagar serta pintu hadapan ditutup dan terdapat bau busuk yang kuat.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri diarahkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, setelah berjaya memasuki rumah itu, pasukan menemukan mayat seorang lelaki di dalam bilik tidur dengan keadaan  reput dan tertiarap di atas lantai.

Katanya,  mangsa tinggal seorang diri di rumah itu manakala isteri dan anaknya tinggal di Semenanjung.

“Kawasan sekitar rumah diperiksa, didapati semua pintu serta tingkap bilik ditutup dan dikunci dari dalam, semua barang si mati dalam keadaan baik,” katanya.

Katanya,  mayat kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.