MERADONG: Gandingan ibu bapa dan guru memainkan peranan penting bagi membentuk generasi pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, ini kerana pelajar yang cemerlang merupakan pewaris kepada kepemimpinan Sarawak pada masa depan.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Sukaneka Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Putih, Meradong, semalam.

Ding menambah, kerjasama ibu bapa dan guru dalam membincangkan hal berkaitan pendidikan penting supaya pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.

Jelasnya, memang tidak dapat dinafikan peranan PIBG dan warga pendidik dalam mencetuskan hala tuju dan matlamat melahirkan generasi pelajar yang berkualiti dan cemerlang.

Dalam majlis sama, beliau telah mengumumkan dana sebanyak RM2,000 sempena Sambutan Sukaneka PIBG SK Tanah Putih.