SERIAN: Pada hari ini inovasi telah menjadi tunjang ke arah menjadi sebuah negara yang maju, moden dan berteknologi tinggi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Jaul Samion berkata adalah menjadi keutamaan penjawat awam untuk terus mempergiatkan usaha dalam menyemarakan lagi budaya inovasi bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cepat, cekap dan berkesan.

“Kejayaan yang dicapai penjawat awam bukan hanya diukur melalui penggunaan peralatan yang canggih semata-mata, tetapi haruslah disertai dengan budaya, nilai dan keikhlasan dalam menyampaikan sesuatu perkhidmatan kepada pelanggan.

“Matlamat utama kita seperti  yang dinyatakan dalam ‘Public Service Transformation Frame Work’ adalah untuk mewujudkan budaya berprestasi tinggi, dinamik dan perkhidmatan berteraskan pelanggan.

“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang mesti kita laksanakan dengan penuh tekad dan komitmen bagi memastikan perkhidmatan awam terus relevan untuk masyarakat,” katanya.

Teks ucapan beliau telah dibacakan Ketua Seksyen Pengkormesilan dan Latihan Industri, Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Dr Gluma Saban dalam Majlis Perasmian Program INNO AQUA Sempena Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Wilayah Sarawak 2019 anjuran Jabatan Pertanian Sarawak bertempat di Stesen Pertanian Tarat pada Selasa.

Datu Jaul turut mengharapkan agar setiap penjawat awam menjadikan budaya inovasi diterapkan dan diaplikasikan  dalam tugasan seharian.

“Menjadi harapan saya agar jentera kerajaan ini dapat meneruskan pembudayaan inovasi dalam tugas harian dengan menampilkan pendekatan kreatif dan inovatif selaras dengan transformasi perkhidmatan awam.

“Dalam hubungan ini, saya menggesa penglibatan semua untuk memupuk dan membudayakan inovasi dengan mewujudkan persekitaran dan budaya kerja yang mendorong kepada penyuburan nilai-nilai inovasi dan kreativiti,” ujarnya.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaian cenderahati kepada 6 Kumpulan Inovasi dan Kualiti (KIK) dan Key Focus Activity (KFA) 2019  kepada beberapa pegawai Jabatan Pertanian Sarawak yang telah mengambil bahagian di peringkat negeri.

Selepas itu, tetamu dibawa melawat tapak pameran dan jualan dan seterusnya Bangunan Hatceri Empurau Research & Development Centre (ERDC) Tarat bagi melihat demonstrasi pembenihan ikan.