KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak bersetuju dengan pandangan Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi mengatakan bahawa Kerajaan Sarawak tidak boleh mengenakan cukai ke atas  hasil petroleum terhadap syarikat minyak dan gas di negeri ini kerana ia di bawah Senarai Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang disifatkannya mempunyai kuasa penuh kepada semua perkara berkaitan produk petroleum.

Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak Datuk Sri JC Fong berkata di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 dengan jelas dinyatakan dalam perenggan 24(1) Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) kini dilampirkan kepada MA63 bahawa Kerajaan Sarawak mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas barangan diisytihar boleh dikenakan cukai termasuk cukai jualan.

Kerajaan Sarawak sebelum ini mengenakan cukai jualan pada kadar lima peratus terhadap minyak dan gas berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Setakat ini syarikat Shell dan Murphu Oil telah membayar cukai berkenaan manakala Petronas masih enggan melunaskannya sehingga menerima kritikan pelbagai pihak.

Dalam satu kuliah di sini dua hari lepas, Shad berkata, royalti lima peratus minyak Sabah dan Sarawak bukan dalam senarai perlembagaan, dan apa-apa sahaja perundingan mengenai produk petroleum, ia di bawah kuasa kerajaan Persekutuan.

Fong berkata kerajaan Sarawak menegaskan tidak seharusnya ada sekatan untuk mengenakan cukai oleh badan perundangan persekutuan atau negeri.

“Jika ada sekatan, maka cukai persekutuan tidak boleh dikenakan ke atas perkara yang di dalam Senarai Negeri seperti transaksi tanah dengan jelas sekali adalah perkara dalam Butiran 2(C) Senarai Negeri,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menangkis kenyataan Shad berhubung hak Kerajaan Sarawak mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum ke atas syarikat-syarikat terlibat dalam industri minyak dan gas di negeri ini termasuk Petronas.

“Pada analisis terakhir, apa yang dikatakan Profesor Shad di Kuching mengenai hujah Petronas, bukan saja bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia tetapi juga, jika beliau betul pada pandangannya, maka ia akan membuka pintu untuk pembayar cukai  tidak membayar cukai yang dikenakan oleh undang-undang persekutuan mengenai perkara-perkara yang jelas di bawah Senarai Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.