HANOI: Setiap perlawanan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 amat penting buat Malaysia, dalam merealisasikan impian beraksi pada kejohanan bola sepak berprestij yang lebih tinggi, lapor Bernama.

Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia, tetapi kali terakhir Malaysia membuat penampilan di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007.

Jika diamati sudah hampir 30 tahun skuad Harimau Malaya gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait, setelah kandas di pusingan kelayakan.

Bernama berkata, untuk menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023, Malaysia yang mendapat laluan agak mudah dalam kempen kelayakan kali ini, perlu sekurang-kurangnya muncul antara empat pasukan naib juara terbaik atau terpaksa memilih laluan lebih berliku dengan beraksi pada peringkat ‘playoff’.

Pusingan kelayakan kali ini dilihat memihak kepada Malaysia, apabila diundi bersama tiga negara ASEAN – Vietnam, Thailand dan Indonesia – selain satu daripada gergasi Asia yang menghuni ranking ke-66 dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan G.

“Menghimpunkan barisan pemain terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), skuad kebangsaan kendalian Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe seharusnya tampil lebih yakin dan memanfaatkan setiap aksi, untuk membawa pulang mata bagi terus menghidupkan peluang dalam saingan berkenaan,” kata Bernama lagi.

Selepas dua perlawanan, Malaysia yang menundukkan Indonesia 3-2 di Jakarta sebelum tewas 1-2 kepada UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya kini berdepan tugasan getir menentang pasukan di ranking ke-99 dunia, Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Khamis ini.

Meskipun saingan kumpulan masih panjang, Cheng Hoe dan barisan anak buahnya tidak perlu menunggu sehingga saat akhir, untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia 2023.