KUCHING: Jumlah subsidi sebanyak RM1 sehari atau maksimum RM30 sebulan bagi pemilik kenderaan tidak cekap dalam menangani harga RON95 setelah ia mula diapungkan setara dengan harga pasaran.

Tambahan pula, menurut Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashimpengguna RON95 akan terus ditekan dengan harga pasaran tanpa subsidi terutama mereka yang mudah terjejas dan dalam kalangan golongan M40.

“Secara tidak langsung Program Subsidi Petrol (PSP)  bersasar ini membuktikan Pakatan Harapan gagal menyelesaikan isu subsidi petrol dan kestabilan harga sepertimana yang dinyatakan dalam janji manifesto,” katanya dalam satu kenyataan.

“Persoalan pertama yang ingin diutarakan ialah apakah hasil yang dikeluarkan oleh GHL Transact Sdn Bhd setelah mendapat kontrak bernilai RM25.03 juta daripada Kementerian Kewangan untuk membangunkan aplikasi perisian serta perkakasan yang melibatkan subsidi petrol RON95? Walhal, subsidi petrol akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima berdasarkan maklumat data yang telah sedia ada,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan 1600cc dan ke bawah dan kereta melebihi 1600cc yang berjangka hayat 10 tahun dan ke atas layak menerima Program Subsidi Petrol (PSP) seperti diumumkan kerajaan hari ini.

Manakala kategori motosikal yang layak ialah motosikal 150cc dan ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berusia tujuh tahun dan ke atas.

Katanya, kadar subsidi ialah RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal membabitkan seramai 2.86 juta penerima.

Saifuddin berkata, untuk penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan harga petrol RON95 kekal RM2.08, sekali gus tidak layak menerima PSP.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan sebanyak 2.9 juta penerima akan mendapat manfaat daripada program subsidi tersebut dan anggaran tanggungan bagi perlaksanaan tersebut adalah RM65.4 juta sebulan.